Tuesday, June 30, 2009

16 tahun, 10 tahun dulu dari sekarang - tag dari soraya

Nur Ain Fadzal
Pejabat tingkat 6
Menara di Segambut
Kuala Lumpur

30hb Jun 2009

Assalamualaikum.
Kehadapan Ain 16 tahun yang sentiasa ada dalam ingatan,

Sudah lama rasanya tidak berutus khabar berita di antara kita. Mungkin awak tidak pernah merindukan saya sebagaimana saya yang sangat merindukan awak.

Ain di tingkatan 4 di SMKAS.
Tempat saya menghabiskan masa. Ya, 5 tahun di SMKAS adalah masa yang amat singkat apabila umur saya semakin menginjak dewasa. Bercermin mata, bertudung paras siku, berkasut saiz 9, bermulut lancang, kaki ponteng kelas dan selalu membuat rancangan bersama Ujie mahu cabut awal ketika cuti bulanan menjelang tiba.

Hari ini, cuaca di pejabat saya sangat panas. Harap-harap hujan akan turun sebelum saya keluar malam nanti untuk menonton filem kesukaan saya, Transformers. Konon-konon juga saya mahu berpuasa sunat Rejab hari ini, tapi apakan daya emosi saya tidak berapa stabil apabila mengenangkan kembali komen pedas daripada manusia yang tidak mahu dikenali identitinya. Mungkin dia bersifat bacul seperti apa ada pada dirinya.

Sudah 10 tahun saya meninggalkan 16 tahun yang lalu. Dulu, saya selalu fikir hidup ini sangat mudah. Seperti apa yang kita harapkan. Seperti apa yang kita bayangkan. Seperti apa yang kita cita-citakan. Bila saya semakin dewasa, saya mula ubah cara fikiran saya. Komitmen dan tanggungjawab sentiasa ada di bahu saya. Kepada keluarga saya. Kepada diri saya. Buat sementara ini, cukuplah sekadar datangnya kasih sayang daripada keluarga saya. Mak abah saya, nenek atuk saya, makcik pakcik saya, adik-adik saya, saudara mara saya, dan paling terkini anak adik saya merangkap anak buah baru saya. Keluarga saya semakin besar dan saya harap, hubungan kami semakin erat pada masa kini dan akan datang.

Tidak banyak bezanya antara kita walaupun berbeza 10 tahun. Masih seperti dahulu. Bercermin mata, bertudung juga ke pejabat dan yang sewaktu dengannya, berkasut saiz 9, bermulut lancang, kaki ponteng kelas (mungkin nanti) dan selalu membuat rancangan mahu cabut awal ketika musim cuti raya untuk mengelakkan kesesakan lalulintas.

16 tahun. Hanya di tingkatan 4. Abah yang banyak mengatur perjalanan dan menjadi perancangnya. Asuhan pula daripada mak. Yang lain hanya diri awak yang tentukan. Makan awak. Belajar awak. Main awak. Mungkin ada sedikit terkilan dengan apa yang berlaku, akan tetapi semuanya pasti ada hikmah di sebaliknya. Awak akan percaya suatu hari nanti.

Kini saya berbangga dengan diri saya walaupun saya belajar tidak setinggi mana. Tapi saya cuba belajar mengenali dunia. Mengenali erti kehidupan. Mengerti sekeliling saya. Dan saya boleh buat mak abah saya berbangga dengan kehidupan mereka. Itu perkara pokok yang saya pegang.

Saya tahu, suatu hari nanti pasti awak akan berdikari. Berdiri di atas kaki awak sendiri. Berpegang teguh dengan kata-kata awak. Berpegang teguh dengan cara pemikiran awak. Walaupun awak selalu menjengkelkan kawan-kawan awak yang lain dengan suara nyaring awak, dengan mulut bising awak, dengan berbakul-bakul carutan yang awak lemparkan, dengan perangai kasar awak dan dengan sikap cemerkap awak yang tidak sudah-sudah.

Kamu tahu, saya sangat rindukan awak. Sangat-sangat. Cara awak bergaduh. Cara awak bertengkar. Cara awak meluahkan perkara yang awak tidak suka secara terang-terangan.
Berbeza betul dengan sekarang. Seperti saya. Seperti seorang hipokrit. Mungkin kerana zaman makin berubah dan pembawakan ke alam dewasa. Banyak yang perlu dijaga. Banyak yang perlu diambil hati.

Saya rasa sudah panjang lebar saya bercerita dan berkhabar berita kepada awak. Dan disini, saya mahu tamatkan saja dahulu surat ini. Cuma apa saya harapkan, orang yang saya sayangi sentiasa dipanjangkan umur, di curahkan rezeki kepadanya, di beri kesihatan yang baik-baik agar mereka dapat menempuhi hidup di dunia ini dengan sabar dan penuh warna warni seperti yang saya selalu impikan.

Saya harap, awak sentiasa merestui dan mendoakan saya agar melalui hari-hari akan datang dengan penuh keceriaan dan selamat saja menempuhi masa depan nanti.


Sekian. & Moga-moga kita ketemu lagi.



Yang sangat merindui awak,
Ain, 26 tahun.




9 comments:

Rockstar said...

emosi saya tidak berapa stabil apabila mengenangkan kembali komen pedas daripada manusia yang tidak mahu dikenali identitinya

ni mesti psl komen kat blog budaknakal tu kan?

haha...

ain fadzal said...

adobe : ye ar...

dah la komen jdk anon jek. x stylo lngsung.

rainz said...

hahaha...skang ko pakai topi koboi..

ujie dulu geng kongsi gelap ko dulu la ek..

Anonymous said...

best ah surat ni..

ain fadzal said...

arfa : heheh..

koboi campuran tu weh.

jane : aku tau, surat ko lagi best.

:D

sniffdawhatwhatbanger said...

'& Moga-moga kita ketemu lagi.'

- dream on... haha, doa la yg patut2 sikit.

AmatMizi said...

Apsal mcm sedih je surat ko nih...

ain fadzal said...

sniff : doa ape?

ala, aku tau ko rindu zaman skolah ko dulu kan?

;))

amat : tak sedih la.. aku x nangis pun lagi.

;))

ujie said...

huhu sedey... :(

yang ikhlas tp jauh,

-uJie-